Tuesday, February 23, 2010

Perihal PM dan MB bukan Melayu by Prof Dr Abdul Aziz Bari

Perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam dalam pelantikan PM atau KM

Soal Perdana Menteri (PM) bukan Melayu sering timbul. Sepanjang saya ingat, sejak 1999 hingga sekarang ia sering tenggelam dan timbul. Begitu juga dengan soal Menteri Besar (MB) di sembilan negeri beraja. Menariknya soal Ketua Menteri (KM) di empat negeri – Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak – tidak pula ditimbulkan. Hujung Januari lalu Ahli Exco Perak, Datuk Hamidah Osman menimbulkan keributan menegenai ketidakharusan wanita menjadi MB.

Walau apa pun elok kita halusi terlebih dulu peruntukan Perlembagaan yang menyatakan undang-undang mengenai isu-isu dibangkitkan itu. Apa yang jelas di situ sebagaimana di negara-negara Westminster lain, ketua kerajaan dilantik oleh ketua negara atau ketua negeri mengikut lunas-lunas tertentu. Meskipun kuasa melantik ini adalah budi bicara – yang di sesetengah negara dipanggil prerogatif, kuasa melantik ini bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan sewenang-wenang dan sesuka hati. Tegasnya ia perlu difahami dalam konteks demokrasi.

Inti pati undang-undang tentang pelantikan itu ialah orang yang hendak dilantik sebagai PM atau MB atau KM perlu banyak sokongan di dalam Dewan. Dalam konteks Dewan Rakyat sekarang orang itu hendaklah mempunyai sokongan minimum 112 Ahli Parlimen. Bagaimanapun sekiranya ada lebih dari dua kelompok di situ, orang yang mempunyai paling ramai penyokong hendaklah dilantik mengetuai kerajaan.

Sering dikatakan sekiranya kedudukan di dalam Dewan adalah jelas – yakni majoritinya - maka kuasa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atau raja atau Yang Dipertua Negeri - hanyalah satu formaliti semata-mata. Dalam kerangka demokrasi yang melatari Perlembagaan, hakikat ini adalah sesuatu yang lumrah. Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong, contohnya, tidak boleh mengada-ngada dan cuba mempengaruhi pelantikan.

Perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam dalam pelantikan PM atau KM. Syarat itu cuma disebut dalam pelantikan MB di sembilan negeri tersebut, itu pun tidak mutlak. Ini kerana perlembagaan membenarkan raja untuk tidak melantik MB Melayu dan Islam sekiranya ia tidak dapat dilakukan.

Sokongan majoriti

Keharusan sedemikian sebenarnya tidak memeranjatkan kerana apa yang paling utama MB mesti dilantik daripada kalangan ahli-ahli Dewan. Syarat ini adalah satu kemestian. Dengan proses politik tidak mustahil di dalam Dewan berkenaan tidak ada ahli Melayu atau kalau ada pun ia mungkin tidak sesuai atau tidak mempunyai sokongan majoriti. Sokongan majoriti adalah syarat yang tidak boleh ditolak ansurkan. Ini kerana dalam sistem Westminster, kerajaan memerintah diwajibkan bertanggungjawab kepada Dewan: kerajaan tidak perlu berbuat demikian kepada ketua negara, baik Yang di-Pertuan Agong, raja atau pun Yang Dipertua Negeri.

Mereka yang bermati-matian mahukan PM atau MB mesti orang Melayu, tidak faham skema Perlembagaan dan demokrasi. Dalam konteks dan kerangka Perlembagaan kita, kedudukan Melayu dan Islam telah pun dikeluarkan dari kerangka politik. Dalam soal ini raja-raja adalah pelindung dan penjaga terakhir. Salah satu manifestasi sifat ini, hal-hal yang berhubung dengan Islam dan kemelayuan tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja.

Mereka yang berkeras mahukan PM dan MB Melayu perlu memahami Perlembagaan dalam konteks yang betul. Dalam keadaan sekarang PM memegang kata putus, termasuk hal berkaitan agama. Di sisi undang-undang sepatutnya Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja mempunyai kuasa itu.

Dua tahun lalu saya pernah menyebut betapa Perlembagaan membolehkan pelantikan PM bukan Melayu dalam satu forum di Masjid Negeri Ipoh. Seorang berjubah dan berserban bangkit mengatakan “saya tidak redha!”. Saya tidak kisah kerana orang ini, selain tidak memahami selok-belok Perlembagaan sebenarnya tidak mahir sistem politik dan pentadbiran Islam. Sekiranya sikap ini berterusan sukar untuk bukan Islam melihat keindahan agama suci ini.

Kita suka bercakap betapa Islam ini tidak memandang bangsa, agama dan suku kaum. Betapa Islam itu adil dan sejagat. Tetapi apabila sampai masa membuktikan retorik-retorik itu kita sering gagal melakukannya. Jelas kita masih dipenjarakan oleh ketakutan, kejahilan dan kesempitan akal.

Pada saya mempunyai PM bukan Melayu dan bukan Islam mungkin lebih baik dari mempunyai PM Melayu yang secara rasminya beragama Islam. Saya katakan begitu kerana PM bukan Melayu dan bukan Islam itu akan ikut buku; maksudnya mengikut Perlembagaan. Saya tidak bimbang tentang Islam dan Melayu kerana kita masih ada raja dan mereka tidak perlu mendengar nasihat kerajaan dalam soal-soal itu. Saya fikir PM bukan Melayu tadi akan berusaha keras untuk membuktikan bahawa dirinya juga lebih baik.

Setakat ini Lim Guan Eng menampakkan pencapaian agak baik di Pulau Pinang. Kedudukan Islam dan Melayu tidaklah teruk sangat. Lagipun kita kenalah adil; kena tengok apa yang UMNO dan Gerakan buat di negeri itu sebelum beliau jadi KM. Kalau pencapaian itu dapat dipertingkatkan, Guan Eng mungkin mempunyai harapan untuk jadi PM Malaysia!


*Prof Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun.

No comments: